Rangsangan Sentuhan Si Ibu
Ibu yang kerap bercakap dan menyentuh bayi
mereka membantu merangsang perkembangan sosial bayi.
Sentuhan merupakan salah satu cara yang paling
berkesan bagi ibu untuk melahirkan kasih sayang kepada permata hati. Sama ada
pada waktu makan, bermain, mandi atau menukar lampin, sentuhan menjalin
perasaan kasih yang lebih mendalam buat si manja.
Melalui sentuhan itu jugalah, bayi belajar
bersosial dan berkomunikasi mengikut tahap perkembangan usianya. Sekiranya
seseorang bayi itu memperoleh sentuhan yang kerap daripada ibunya, perubahan
perkembangan tumbesaran dan kemahiran derianya akan memberi respons dan
interaksi dengan orang tersayang dengan lebih cepat berbanding dengan bayi yang
kekurangan belaian.
Perunding Pediatrik dan Neonatologi Pusat
Perubatan Prince Court, Dr. Anna Padmavathy Soosai berkata, sentuhan lembut
seorang ibu merupakan pemangkin kepada perkembangan sosial bayi.
Pada peringkat usia dua bulan, senyuman dan
sentuhan ibu semasa menyusu, mandi, menyalin lampin atau memakaikan baju adalah
detik bayi mengenal siapa ibunya.
"Sentuhan itu seolah-olah bertindak
sebagai pelindung dan luahan kasih sayang yang begitu mengasyikkan oleh seorang
yang telah mengandung dan melahirkannya ke dunia ini. Pada waktu usia yang awal
inilah detik terbaik untuk ibu menyentuh dan membelai bayi. Adalah suatu yang
merugikan sekiranya tidak berbuat demikian dan hanya menyerahkan kepada
pembantu rumah melakukannya. Ibu sebenarnya kehilangan peluang untuk mengasihi
bayi yang di kandung selama sembilan bulan 10 hari itu kerana waktu inilah
mereka ula mengenal ibunya dan memperoleh kasih sayang," katanya.
Menurut Dr. Anna, salah satu perkara yang
sering dilakukan oleh ibu bapa yang baru memperoleh anak ialah membeli pelbagai
jenis permainan. Ini sebenarnya tidak perlu terutama pada usia di bawah empat
bulan kerana bayi hanya boleh melihat pelbagai warna ketika berusia empat
bulan.
Pada usia bawah empat bulan, bayi hanya
inginkan sentuhan dan wajah ibunya sahaja. Justeru itu, dinasihatkan ibu-ibu
supaya sentiasa bercakap-cakap dengan bayi kerana ia adalah rangsangan kepada
perkembangan sosial yang paling berkesan.
"Terdapat empat tanda jalinan kasih sayang
yang sering dilihat pada bayi yang mendapat kasih sayang yang sepenuhnya
daripada seorang ibu. Bagaimanapun ia boleh dilihat mengikut peringkat usia.
Pada peringkat usia sebulan, bayi anda akan mula tersenyum, dua bulan (mula
mengeluarkan suara), empat bulan (cuba mencapai ibunya, menatap mata bayi
menjadi lama dan bayi bergelak ketawa)," ujarnya.
Empat tanda jalinan kasih sayang
=>Bayi tersenyum lebih kerap
Percaya atau tidak, menyentuh bayi anda boleh
membuatnya tersenyum dengan lebih kerap, yang membuktikan keeratan anda berdua.
Sedang bayi anda membesar, anda akan sedar bahawa senyumannya akan menjelma
tiap kali anda berada di sampingnya atau setiap kali bayi menjangka kehadiran
anda. Senyuman-senyuman ini menandakan bahawa dia berasa selamat dalam dunianya
dan sudah bersedia untuk mempelajari tentang dunia yang sebenar kelak nanti.
=>Bayi cuba mencapai kepada ibunya
Apabila bayi cuba mencapai kepada si ibu, bayi
mungkin cuba memberitahu si ibu untuk memeluk dan membelainya; untuk
merapatinya atau si bayi gembira dengan kehadiran ibu.
Apa yang penting, bayi sedang menunjukkan rasa
perlunya terhadap ibu, dan ini menandakan hubungan erat antara ibu dan anak.
Semasa anak membesar, tindak balas positif anda tiap kali si manja mencapai ke
arah anda akan membantu bayi lebih sedar akan pergerakannya dan cara membuat pergerakan
yang bermakna.
=>Bayi bergelak ketawa
Bayi ketawa untuk menunjukkan perasaannya.
Selain menunjukkan rasa teruja dan gembira, gelak pertama bayi menandakan
perkembangan sosialnya kerana merupakan suatu tindak balas yang berlaku apabila
dia berkongsi dunianya dengan orang tersayang.
Apabila bayi gelak sebagai salah satu cara
untuk bertindak balas dengan anda, ia merupakan cara bayi untuk memberitahu
betapa seronoknya dia meluangkan masa dengan anda.
Dengan berbunyi-bunyi manja pada waktu kehadiran
anda, bayi menunjukkan bahawa mereka mengenali anda, dan sedang berhubung
dengan anda. Dalam erti kata lain, bunyi-bunyi tersebut menandakan
kegembiraannya dan juga sebagai tindak balasnya bagi kasih sayang, sentuhan dan
perhatian yang anda berikan.
=>Tatapan mata bayi menjadi lebih lama
Bayi juga menggunakan isyarat mata untuk
berhubung. Apabila bayi menatap mata anda, suatu mesej berbaur kasih sayang
mengalir antara bayi kepada anda yang meningkatkan kasih sayang antara anda dan
si manja.
Pandangan mata yang kemudiannya berkembang
menjadi tatapan yang lama, merupakan salah satu kebolehan bayi yang dapat anda
sedari. Pada hari-hari awalnya, bayi akan memberi sepenuh perhatian kepada
anda, dan lirikan matanya akan mengekori anda apabila anda hampir dengannya.
Melihat muka anda yang telah dia kenal
seolah-olah mampu menenangkan si manja. Ada kalanya anda juga mendapati si
manja seolah-olah sedang termenung ke arah anda. Ini adalah kerana bayi sedang
cuba mengingat muka anda dan mengenal pasti bagaimana rupanya kasih sayang dan
keselesaan.
No comments:
Post a Comment